Jumat, 03 Desember 2010

BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN (Bahagian 1)

بســــــم الله الــــرحمــــن الـــرحـــــــيم

الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله، وكفى بالله شهيداً، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له اقراراً به وتوحيداً، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله صلى الله عليه وسلّم وعلى آله وأصحابه وسلم تسليماً مزيداً.

أما بعد:

Allah swt menjadikan manusia di muka buni ini adalah untuk menjadi khalifah bagi memakmurkan bumi mengikut peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan olehNya.

Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah 2:30 :

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً (

“Sesungguhnya Aku akan jadikan seorang khalifah di atas muka bumi………”

Sebagaimana yang kita maklumi dan ketahui bahawa Allah swt telah meletakkan agama Islam adalah agama yang wajib dianuti oleh seluruh umat manusia.Ini kerana hanya Islam lah satu-satunya agama yang dapat menjamin manusia memperolehi kehidupan yang sempurna samada di dunia mahupun di akhirat dan terselamat daripada azab siksaan yang pedih.

Firman Allah swt :

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّهِ الإِسْلاَمُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ إِلاَّ مِن بَعْدِ مَا جَاءهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللّهِ فَإِنَّ اللّهِ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Sesungguhnya Agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. (Ali-cImran 3:19)

Dan Firman-Nya lagi :

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari Agama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.( Ali-cImran 3:85 )

Apabila kita telah memilih Islam sebagai agama , maka sudah sepatutnya kita menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup kita dalam melayari kehidupan di muka bumi ini.Maka dengan ini,apa-apa sahaja yang diperintahkan kepada kita untuk diikuti,hendaklah dipatuhi dan apa-apa sahaja yang dilarang daripada kita melakukannya , hendaklah dijauhi.

Firman Allah swt :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). ( Al-Hasyr 59: 7 )

Undang-Undang Islam adalah salah satu daripada perkara yang dibawa oleh Rasulullah saw yang mana ianya merupakan syariat Allah swt yang telah diperundangkan oleh-Nya kepada kita umat manusia agar kita dapat hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram.Ini kerana tujuan utama Allah swt meletakkan undang-undang tersebut adalah untuk memelihara agama,nyawa,akal,keturunan dan harta benda.

Sebagai makhluk yang mempunyai pencipta iaitu Allah swt , sudah tentulah kita mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Pencipta kita.Ini kerana tidak ada yang lebih mengetahui tentang kebaikan dan keburukan kita melainkan Allah swt yang Maha Pencipta.

Bagi penulis dalam isu ini tidak timbul persoalan “Bagaimana kemungkinan Undang-undang Islam dapat dilaksanakan di zaman moden” ….. Persoalan “Bagaimana” adalah satu persoalan yang tidak perlu dijawab , kerana syaricah islamiah itu adalah satu perundangan yang wajib dilaksanakan dan sesuai untuk dipraktikkan pada setiap tempat dan masa.Ini juga kerana syaricah Islamiah adalah perundangan yang pernah dijalankan di zaman awal Islam iaitu di zaman Rasulullah saw , zaman sahabat , tabi’in dan tabi’ tabi’in.Mungkin boleh kita katakan di sini atau tajuk yang paling tepat di berikan untuk kajian ini ialah “Faktor-faktor yang menyumbang kepada pelaksanaan semula undang-undang Islam di zaman moden”

Sesungguhnya , apabila kita mengaku menjadi orang yang beriman kepada Allah swt dan Rasul-Nya Muhammad saw , maka adalah satu perkara yang amat memalukan jika kita mengatakan bahawa undang-undang Islam ( Syaricah Islamiah ) itu tidak sesuai dilaksanakan di zaman moden dan ketinggalan zaman atau menganggapnya sebagai peraturan yang zalim , barbaric , kejam dan sebagainya.

Firman Allah swt dalam menempelak golongan ini sebagaimana yang termaktub dalam surah Al-Ahzab 33:36 :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Ayat di atas dengan jelas melarang kita untuk mengenepikan segala perintah dan ketetapan yang Allah swt telah tetapkan kepada kita selaku hamba-Nya yang sangat lemah dan hina ini.Apakah kita berhak untuk menolak undang-undang Allah swt dan menggantikannya dengan undang-undang ciptaan kita sendiri dengan alasan bahawa undang-undang ciptaan kita itu adalah yang terbaik dan sesuai untuk semua golongan manusia.??

Apakah boleh kita mendabik dada dengan mengatakan undang-undang ciptaan kita itu berjaya mengawal kemaksiatan dan jenayah yang berlaku di sana sini , walaupun statistik jenayah seluruh dunia menggambarkan kepada kita kes-kes jenayah makin bertambah buruk dari sehari ke sehari ???

Bertitik tolak daripada salah faham dan pra sangka buruk umat Islam khususnya dan masyarakat dunia amnya tentang persepsi dan tanggapan mereka terhadap undang-undang Islam inilah menyebabkan penulis rasa amat perlu dan menjadi satu kewajipan bagi penulis untuk menerangkan kepada umat islam tentang kesyumulan dan kesesuaian Syaricah Islamiah atau perundangan Islam dilaksanakan tanpa mengira tempat dan masa sekaligus merongkai kekusutan dan kecelaruan yang telah bertapak berkurun lamanya dalam hati dan sanubari umat Islam sehingga menjadi satu penyakit yang semakin membarah yang melanda umat Islam sekarang.

1. PENGENALAN

Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw , adalah agama yang menjamin kebahagian dunia dan akhirat.Tidak ada agama lain yang sesempurna dan sehebat Islam. Allah swt selaku tuan punya agama dan tuan punya segala makhluk dan kejadian di langit dan di bumi menjadikan peraturan-peraturan dan perintah serta larangan yang wajib diikuti dan dipatuhi oleh setiap hamba-hamba-Nya.Undang-undang Islam adalah undang-undang yang Allah swt turunkan untuk dijalankan oleh pemerintah bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman hidup antara satu sama lain.Tapi malangnya , manusia mula lupa dengan kesempurnaan Islam yang menjamin kehidupan.Mereka merasakan bahawa , undang-undang perlu digubal semula berdasarkan akal para pemimpin dan penggubal undang-undang demi kesesuaian dan keserasian hidup mengikut perubahan zaman dan tempat.Kalaulah undang-undang itu digubal oleh akal melalui pembesar-pembesar negara beserta pakar-pakarnya , maka itu adalah siyasah akal.Tetapi , kalaulah undang-undang itu diwajibkan oleh Allah swt , diakui dengan syarat-syaratnya , maka ia adalah siyasah agama yang memberi manfaat kepada kehidupan di dunia dan di akhirat.

2. SEJARAH PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARICAH

Sebelum kita membicarakan tentang cara dan bagaimana pelaksanaan Undang-undang Islam di zaman moden , eloklah kita melihat dahulu secara ringkas sejarah dan punca undang-undang Islam yang suatu ketika dahulu menjadi perundangan dalam sistem pemerintahan umat Islam terus ditinggalkan dan dilupakan.

Umum mengetahui bahawa Undang-undang Islam adalah perundangan yang diamalkan oleh Rasulullah saw , para sahabat dan para Imam mujtahiddin semasa pemerintahan Islam di zaman mereka.Malah ianya terus dilaksanakan sehinggalah kepada zaman kejatuhan kerajaan Islam cUthmaniyyah.(1924)

Perundangan Islam ini telah tersebar dan diguna pakai di serata pelusuk dunia.Masyarakat ketika itu meyakini undang-undang yang diturunkan oleh Allah swt ini adalah undang-undang yang terbaik dan selamat buat mereka.Malah di zaman sekarang ini juga perundangan Islam mendapat pengiktirafan dan pengakuan daripada masyarakat antarabangsa.Ini diakui sendiri oleh pakar-pakar perundangan yang beragama Islam dan bukan Islam dan juga pengakuan yang adil dan ikhlas daripada kalangan orang-orang barat[1]. Antaranya ialah pengakuan pakar undang-undang bukan Islam seperti Dr Syafiq Syahatih, seorang Kristian Mesir , Dr Ezco Ensabato , Professor Chabrl (Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Vienna) , Dr Hokenj (Professor falsafah Universiti Havard) serta tokoh falsafah dan sasterawan dunia yang terkenal , Bernard Shaw dan ramai lagi pakar-pakar undang dari barat dan yang bukan Islam yang mengakui kehebatan undang-undang Islam.[2]

Sejarah telah membuktikan bahawa undang-undang Islam adalah yang terbaik dan berkesan dalam pembentukkan syakhsiah dan jati diri umat manusia.Keberkesananya memang tidak dapat disangkal lagi dan tidak boleh ditukar ganti dengan undang-undang ciptaan.Ini dapat digambarkan melalui pengalaman kejatuhan kerajaan sekular Turki yang dipimpin oleh Kamal Atarturk , yang mana dengan kekerasan dan kekejaman , Atarturk telah membuang sepenuhnya perundangan Syaricah Islamiah yang telah diguna pakai sejak berkurun lamanya di Negara Islam Turki lalu digantikan dengan pelaksanaan undang-undang barat setapak demi setapak , yang mana akhirnya istana perundangan barat yang hendak dibinanya itu tumbang dan tersungkur menyembah bumi sekaligus membawa kepada kehancuran kerajaan sekular Turki.

Apa yang perlu kita fahami ialah kejatuhan kerajaan Islam terakhir cUthmaniyyah yang berpusat di Turki adalah kerana usaha-usaha barat yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan pemerintahan Islam sebelum matlamatnya untuk menguasai dunia tercapai

Ini dapat dilihat apabila hubungan rapat yang keterlaluan berlaku antara barat dan orang-orang Islam , yang mana segala sistem dan mentaliti barat menjadi budaya dan ikutan umat Islam , akhirnya menyebabkan umat Islam terpaksa menerima padah daripada kecuaian tersebut.

Professor Mannac Khalil Al-Qatthan menulis :

Apabila terlalu banyaknya hubungan rapat orang-orang Islam dengan barat , lemahnya keadaan Daulah cUthmaniyyah , menyusup masuk ke dalam negara Islam segala tasawur dan sistem serta keadaan masyarakat barat , maka tidak lama selepas itu umat Islam mula merasa kagum dan takjub kepada barat.Seterusnya bermulalah sikap memandang rendah terhadap iltizam (komitmen) kepada hukum-hukum syariah yang mana akhirnya membawa kepada penukaran hukum itu kepada undang-undang ciptaan barat daripada satu peringkat ke satu peringkat.[3]

Diantara tujuan utama barat ingin menghapuskan pemerintahan Islam ialah kerana mereka tidak mahu perundangan Islam dijalankan. Ini ditegaskan oleh Dr cAli Juraisyah :

“…….Bahawa usaha barat untuk menghapuskan pemerintahan Islam adalah melalui 3 perkara : 1) Menghapuskan sistem pemerintahan Khalifah Islamiah , 2) Penjajahan baru , 3) Usaha menjauhkan masyarakat daripada keunggulan syariat Islam” [4]

Daripada 3 perkara tersebut , perkara pertama adalah yang paling penting kerana , apabila sistem pemerintahan Khalifah Islamiah dapat dihapuskan , secara otomatiknya segala perkara yang berdasarkan dan bertunjangkan kepada syaricah Islamiah akan dapat dihapuskan.Ini bermakna keinginan barat untuk menghapuskan Islam secara totalnya dapat dilaksanakan.

Dr cAli Juraisyah seterusnya menyebutkan :

Antara kesan yang akan berlaku kepada umat Islam apabila pemerintahan Khalifah dihapuskan ialah : 1) Hilangnya negara yang melaksanakan hukum Alah swt , 2) Hilangnya negara yang dapat menghimpunkan umat Islam seluruhnya dalam satu aqidah yang hak, 3) Hilangnya daulah atau negara yang dapat memerangi musuh-musuh Allah swt dan umat Islam dengan kekuatan dan keberanian , 4) Hilangnya daulah atau negara yang mana Yahudi merasakan tidak ada jalan untuk mereka menawan Palestin melainkan dengan menghancurkan negara Islam lainnya. [5]


Setelah penghapusan sistem Khalifah Islamiah , maka barat berusaha pula melakukan penjajahan baru ke atas negara-negara Islam dengan membawa bersama mereka tujuan dan matlamat yang keji lagi hina.Di antara perkara yang dilaksanakan terhadap negara-negara Islam yang dijajah ialah dengan melantik dan merekrut pemimpin-pemimpin masyarakat , bangsa atau negara yang boleh diperkudakan dan diperkotak-katikkan untuk kepentingan mereka dengan melaksanakan dasar-dasar pemerintahan barat.Ini termasuklah dengan membuang sistem pemerintahan yang bertunjangkan perundangan Islam lalu digantikan dengan sistem perundangan sekular atau barat.

Pencerobohan terhadap undang-undang syariah islamiah bermula dengan campur tangan barat terhadap undang-undang jenayah hudud.Ini berlaku sewaktu khilafah Uthmaniyah memperbaharui undang-undang Pembalasan Uthmani pada tahun 1840 yang mana sebenarnya adalah merupakan terjemahan bagi undang-undang Pembalasan Perancis yang dibuat sedikit perubahan padanya.Setelah itu undang-undang ini dijalankan keseluruh negara Islam.[6]

Undang-undang barat tersebut dijalankan di negara-negara Islam yang dijajah dengan cara mengaburi mata masyarakat dengan mengatakan bahawa undang-undang barat yang diperkenalkan adalah undang-undang yang terbaik , adil dan saksama , malah disamping itu mereka juga melemparkan tuduhan demi tuduhan tentang kezaliman dan kekejaman undang-undang Islam.

Bila ini berlaku , sedikit demi sedikit masyarakat akan menerima dan akhirnya menyanjung perundangan barat yang dijalankan sekaligus akan menghapus dan meghakis sedikit demi sedikit ruh Islam yang selama ini bertapak disanubari setiap individu muslim.

Dalam konteks pemerintahan Islam Tanah Melayu , sejarah telah merakamkan bahawa Islam telah menjadi agama orang-orang melayu sejak 500 tahun dahulu.Orang melayu berjuang bermati-matian dalam banyak peperangan menentang kuasa-kuasa penjajah , Portugis dan Belanda demi melindungi tanah air mereka di samping mempertahankan kesucian agama Islam.Kuasa-kuasa penjajah tersebut selain ingin mengukuhkan perdagangan mereka , cita-cita utama mereka ialah untuk menyebarkan agama dan fahaman Kristian serta bertujuan memperkenalkan dan meluaskan pengaruh sistem perundangan Barat.[7]

Sebagaimana yang kita maklumi , perjanjian Pangkor 1874 adalah merupakan titik permulaan dan perluasan pengaruh Inggeris di Tanah Melayu.Dalam perjanjian tersebut , para pemimpin melayu dikehendaki menerima kehadiran seorang pegawai Inggeris di negeri Perak.Pegawai tersebut akan memberikan nasihat dan pandangan yang wajib diikuti dalam semua hal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan masalah agama dan adat resam orang-orang Melayu.

Bermula daripada penerimaan orang-orang melayu terhadap kemasukkan penasihat-penasihat dan pegawai Inggeris itulah yang membawa tanah melayu kepada pengamalan serta pertukaran daripada undang-undang Islam kepada undang-undang barat, dan terus diamalkan oleh Malaysia walaupun selepas merdeka.

Satu perkara penting yang menarik untuk dilihat ialah , kedatangan orang-orang Inggeris ke tanah melayu khususnya dan keseluruh negara-negara Islam amnya adalah dengan membawa masuk bersama-sama mereka segala sistem , tasawur dan undang-undang ciptaan barat.Tetapi apabila mereka keluar dan pergi meninggalkan kita (selepas merdeka) , mereka tidak membawa balik bersama-sama mereka segala perkara yang dibawa masuk dahulu , sebaliknya mereka tinggalkan kepada kita sebagai kenangan manis yang berisi racun.Sebenarnya mereka sudah tahu awal-awal lagi , bahawa segala sistem , tasawur dan undang-undang yang ditinggalkan adalah untuk menjadikan negara tersebut akan sentiasa dijajah.Walaupun dunia melihat bahawa jasad penjajah telah keluar daripada negara yang dijajah dengan mereka memberikan kemerdekaan kepada negara tersebut, tetapi pemikiran dan ideologi serta peraturan-peraturan pentadbiran dan undang-undang negara tersebut masih lagi dijajah oleh mereka.Malah rakyat negara tersebut amat bangga mengguna pakai segala khazanah peninggalan penjajah tersebut.Mereka amat benci dan marah dengan kedatangan penjajah ke negara mereka sewaktu mula-mula kehadiran pihak penjajah.Berbagai-bagai perjuangan anti penjajah dan bermacam-macam slogan yang digunakan untuk membangkitkan semangat rakyat dalam menentang penjajah.Tetapi selepas pihak penjajah keluar dari negara mereka , mereka menyanjung pula segala tasawur , sistem dan perundangan penjajah dengan menjadikannya sebagai asas atau teras dalam perlembagaan negara mereka sehinggalah ke hari ini.Inilah perkara atau matlamat agung mereka dalam menjalankan misi penjajahan terhadap negara-negara umat Islam.Sesungguhnya umat Islam tidak menyedari niat keji yang tersirat itu..

3. BAGAIMANA PELAKSANAAN SYARIAH DI ZAMAN MODEN

Pada pendapat penulis , bila dikatakan “Bagaimana Kemungkinan Undang-undang Islam dapat dilaksanakan di zaman moden” ianya merujuk kepada 2 faktor utama : iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.Kedua-dua faktor tersebut saling berkait rapat antara satu sama lain dalam usaha melaksanakan perundangan Islam sebagai undang-undang tertinggi sesebuah negara Islam moden.

Antara kedua-dua faktor tersebut , faktor dalaman adalah faktor yang terpenting dan mempunyai peranan yang paling besar dalam pelaksanaan Undang-undang Islam.Ini kerana , faktor dalaman adalah perkara yang bersangkut paut dengan kekuatan dan kemantapan ruh individu muslim dalam meyakini serta mengakui keunggulan perundangan Islam.Tanpa keyakinan dan keteguhan iman dalam bentuk total , perundangan Islam tidak dapat dijalankan dalam ertikata yang sebenar dan dikehendaki syarac.

Manakala faktor luaran pula ialah hasil atau natijah yang akan lahir apabila faktor dalaman yang menjadi teras atau asas pembinaan insan berjaya menjadikan individu itu daripada muslim keturunan kepada muslim-mukmin dalam erti kata yang sebenar.Maka hasilnya , dengan gabungan kedua-dua faktor tersebut akan membawa kepada pelaksanaan undang-undang Islam dengan mudah dan mencapai maksud.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar